Monday 25 April 2011

Manusia boleh berubah

Dalam kehidupan ini, terdapat satu garisan yang akan membahagikan kita kepada dua kumpulan. Dan kumpulan inilah yang kita biasa golongan seseorang itu, antara baik dan jahat. Saya percaya manusia itu boleh berubah. Berubah kearah kebaikan ( alhamdulillah) atau sebaliknya ( nauzubillah). Walau bagaimanapun, orang sekitar ini suka menghakimi orang lain dan kebanyakan mereka lebih suka memandang negatif sesuatu perkara. Namun tidak bagi saya, saya yakin yang MANUSIA BOLEH BERUBAH!!... Teruskan, semoga Allah memandang niat ikhlasmu. Tak payahlah kita mengharapkan pandangan manusia sekitar, ikhlaskanlah kerana Allah.


Saya sedar tentang diri ini yang masih banyak kekurangan. Tapi tatkala mendengar tentang insan yang ingin berubah ke arah kebaikan, hati ini gembira sungguh. Saya tahu mereka perlukan sokongan. Kita manusia ini, memang tak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Baik sekecil kuman mahupun sebesar gajah, semua masih diberi keampunan oleh Allah. Mungkin manusia sekeliling akan mengata, tapi kita kena ingat memang lumrah alam manusia mengata orang, sebab mereka tak mahu digelar kurang waras kalau mengata binatang. Mulut manusia memang macam tu, cuma kita kena banyak bersabar. Saya yakin, bila mereka letih, semua tu akan hilang begitu saja. Yang lebih penting adalah diri kita sendiri.

Manusia boleh berubah 1: nakal kepada baik
Kita selalu lupa kenyataan ini. Lupa dalam amal dan perbuatan, lupa dalam minda dan akal fikiran, lupa dalam hati dan jiwa. cuba kita bayangkan satu situasi yang berlaku dalam kehidupan sekeliling.
Mungkin satu waktu dahulu kita kenal Si X. Dia ada banyak perkara negatif di dalam dirinya. Kita tidak suka Si X pada suatu masa dahulu. Tetapi lama waktu berlalu, kita berjumpa semula dengan Si X. Si X berbeza daripada dahulu. Dia sudah berubah. Walaupun mungkin bukan 100%, tetapi dia menunjukkan perubahan.
Tetapi kita sukar menerimanya.
“eleh, berlakon je kut”
“Ah, dulu punya luka masih besar lagi!”
“Ini silap haribulan sekejap je ni”
Ayat-ayat begitulah yang keluar dari hati.
Inilah sebenarnya punca permasalahan yang berlaku dalam masyarakat. Kita tidak menghayati perubahan Si X. Kita tidak merasai betapa sukarnya dia hendak melakukan perubahan. Kita tidak tahu mungkin betapa menyesalnya Si X dengan kehidupannya yang lalu. Kita tidak tahu mungkin betapa dia bermati-matian untuk membawa dirinya ke arah apa yang dia sedang pijak hari ini.
Ini adalah penyakit.
Penyakit kerana kita tidak menyedari, bahawa manusia itu boleh berubah.


Langkah Awal Melakukan Perubahan
Orang Muslim selalu diperingatkan tentang niat sebelum melakukan sesuatu. Innamal a’malu binniyat! Maka, apabila terdetik dihati untuk melakukan sesuatu kebaikan, pastikan kita tanya diri kita sendiri. Kerana apa sebenarnya kita ingin melakukan kebaikan tersebut?
Adakah kerana ingin dikasihi Tuhan? Atau ingin dipuji semata-mata oleh manusia?
Pergaulan seharian juga memberi impak yang besar dalam kehidupan. Dan mencari sahabat yang baik, soleh lagi beriman itu memang suatu kemestian. Carilah sahabat mahupun kawan-kawan yang sekurang-kurangnya dapat memperingati anda dengan pertanyaan sebegini,
“Kamu dah solat?”
Jika ada kawan yang sebegini, maka hargailah ia. Jagalah hubungan dengan ia. Bergaul dengan orang jahat, maka jadi jahatlah kita. Bergaul dengan orang baik, maka jadi baiklah kita.
Anda ingin menjadi seorang yang baik dipandangan ALLAh? Saya mahu. Senyum.
Kita kena yakin, ALLAh dan para Malaikat-Nya sentiasa bersama dengan orang-orang yang bertekad mahu membuat anjakan paradigma dalam kehidupannya. Berubah ke arah kebaikan bererti menuju ALLAh. Menuju ALLAh bererti akan dikasihi oleh-Nya. Dikasihi oleh-Nya bererti beroleh kebahagiaan hidup.]
MashaALLAh! Subhanallah!

Pecahkan Tembok Keegoan Dalam Diri
Melakukan perubahan bererti kita akan belajar benda yang baru. Melalui pengalaman baru yang akan membuatkan kita sedar akan hakikat kehidupan yang sebenar meskipun kadang kala kehidupan ini sukar diungkapkan bagaimana pengakhirannya.
Kadang kala, kita malu untuk bertanya atau memulakan sesuatu tindakan kerana takut dipandang serong oleh orang lain. Takut kehilangan kasih sayang keluarga dan kawan-kawan. Dan kadang kala juga, kita teragak-agak untuk memulakan perubahan kerana memegang keegoan dek kerana malu berdepan dengan orang ramai.
Sahabat, untuk berubah, ada kalanya kita kena tolak jauh-jauh perasaan malu dan ego itu sendiri. Memeliharanya pada tempat yang salah akan memakan diri kita sendiri. Sedangkan, sebenarnya ramai orang yang memberi sokongan dan kita mendapat doa dari orang-orang yang beriman..
“Ya ALLAh, engkau ampunkanlah dan peliharalah seluruh kaum muslimin dan muslimat…”
Kita mesti mengatakan TIDAK kepada keduanya. Dan selalulah meminta perlindungan daripada ALLAh SWT dari syaitan dan nafsu yang membawa kita ke lembah kegelapan.
EGO? Pecahkan ia!
Rahmat ALLAh? Kejarlah! Kerana, ALLAh selalu ada untukmu. Senyum.
Mari berubah ke arah yang lebih baik dan lebih baik serta lebih baik.

Berdoalah supaya kita serta orang lain berubah ke arah kebaikan, dan sentiasa muhasabah
Moga-moga, perubahan-perubahan yang Allah berikan kepada kita dalam kehidupan ini hanyalah kehidupan ke arah kebaikan semata-mata. Moga-moga, Allah mengubah kita dan mengubah manusia di sekeliling kita ke arah kebaikan.
Kita juga kena berusaha agar doa itu menjadi realiti.
Sentiasalah muhasabah dan buatlah banyak checkpoint di dalam kehidupan kita.
Sentiasalah merendah diri, dan merasa kasih sayang kepada orang lain.
Dengan memahami fitrah perubahan inilah, kita akan menghasilkan rasa hendak mengambil berat akan diri dan orang lain. Dengan memahami perkara inilah, kita akan lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga diri. Dengan memahami perkara inilah, kita akan bergantung lebih kepada Allah SWT.
“(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Surah Ali-Imran ayat 8.

Semoga ALLAh merahmati.

sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment